Isnin, Februari 20, 2012

~ Inzar buat Qalbu~


Ku hidangkan sedikit perkongsian buat tetamu birupink. Agar bermanfaat buat diriku dan dirimu. Aku mengingatkanmu agar nanti engkau bisa mengingatkanku!

Telah hampir datangnya kepada manusia hari perhitungan amalnya sedang mereka Dalam kelalaian, tidak hiraukan persediaan baginya. Tidak datang kepada mereka itu sebarang peringatan Yang diturunkan dari Tuhan mereka lepas satu: satu, melainkan mereka memasang telinga mendengarnya sambil mereka mempermain-mainkannya (Surah Al-Anbiak : 1-2)

Saudaraku, sebelum nafas terhenti,  ayuh beruzlah menghisab diri. Duduk berteku mengadap Ilahi pada jiwa yang tunduk dan menghina diri. Rutin duniawimu telah begitu sibuk sehingga menjadikan engkau buta terhadap  tujuan asal kejadianmu. Labuhkan sauh kehidupanmu buat seketika untuk ‘berkhalwat’ dengan Tuhanmu. Wahai saudaraku, seorang muslim itu menyakini bahawa suatu hari nanti dia akan mati. Namun apakah keyakinan itu sudah memadai  untuk menuai kasih Ilahi tanpa menunjukkan bukti atas keyakinan itu. Betapa jauh kita diperdayakan dengar mengejar dunia seolah-olah kita akan hidup selamanya dan tidak akan mati. Lupakah kita bahawa umur kita sedang dihitung oleh Malaikat I’rail semakin ke penghujung, tidak semakin panjang tetapi semakin pendek.



Setiap hari, jasad kita diberi makan. Terkadang ramai orang yang gelisah kerana memiliki lemak berlebihan. Badan kembang  dengan ‘sponge’ yang  menggebukan.  Dipanggil gemuk cukup mengaibkan. Namun itulah bahana kesan dari makanan.  Wahai saudaraku, apakah kita sekadar memikirkan keperluan jasad sedangkan rohani kita semakin kering mengharap belaian.  Memberontak kehausan. Kontang  dilanda kemarau iman.  Saudaraku,  ruh kita juga perlukan makanan.  Solat, zikir, membaca al-Qur’an,  sedekah dan segala amal ma’ruf yang lain adalah makanan bagi ruh. Justeru kalau lapar kita mengenal jasad perlukan makanan maka gelisah merupakan tanda ruh kita perlukan santapan.

 Ketahuilah Bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup Yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup Yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan Yang (menumbuhkan tanaman Yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa Yang tertentu), selepas itu Engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab Yang berat (di sediakan bagi golongan Yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang Yang mengutamakan Akhirat). dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang Yang terpedaya. (Al-Hadid:21) 
                             
        Dunia dan segala isinya sekadar keseronokkan sementara. Sampai bila kita mahu mengejarnya. Sedang dunia itu makin dicari semakin ia meninggalkan kita. Carilah akhirat kerana disana kehidupan sebenar bermula. Kehidupan yang tidak akan berpenghujung lagi. Sampai bila? Selama-lamanya, sampai bila-bila. Namun akhirat itu tidak mampu dicapai dengan pancaindera. Justeru persoalan syurga dan segala kenikmatannya serta neraka dengan segala kepedihan azabnya hanya iman yang mampu menterjemahkannya. Saudaraku, Maha hebatnya Allah tuhan kita, menciptakan  syurga untuk kekasihnya dan menciptakan neraka buat mereka yang berdosa. Tetapi yang lebih hebat dari itu, Allah muliakan kekasihnya dengan syurga bukan kerana amal pelakunya tetapi kerana rahmat Allah yang Maha Esa. Bahkan terhumbannya manusia berdosa ke dalam neraka bukan kerana Allah menzaliminya tetapi atas neraca keadilannya. Justeru tuailah akhirat dengan semaian dunia. Apa yang disemai itulah hak untuk dituai. Subhanallah, Maha Suci Allah bebaskanlah kami dari mensyirikkan Engkau dengan segala sesuatu..!


~coretan abie isyraqIman, mutah jordan~

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...